top of page

Falsafah kebenaran dalam ‘The Oxford Murders’

  • Writer: Ben Hasan
    Ben Hasan
  • Jan 17, 2016
  • 2 min read

Updated: May 21, 2024

  1. Di babak terakhir sebuah filem penyiasatan, The Oxford Murders, Profesor Matematik, Arthur Seldom membawa pelajarnya, yang dianggap pembunuh, ke sebuah muzium koleksi artifak tiruan. Arthur cuba memahamkan pelajarnya tentang hakikat kebenaran dengan berkata, “Di dalam muzium ini, kita tahu kebenaran hakiki, iaitu semua artifak adalah palsu. Di luar dari dinding muzium ini, tiada sesiapa pasti tentang apa-apa.”

  2. Falsafah kebenaran hakiki yang difahami dengan cara berbeza di antara dua orang ini telah membawa kepada pengakhiran jalan cerita yang sedemikian.

  3. Bukan sedikit yang lebih gemar melakar garis pemisah terlebih dahulu, berbanding membangun apa yang perlu diperkuat dalam garis itu. Mereka meyakinkan orang lain dengan cara tersebut.

  4. Dunia Melayu kian kuat berpaut pada keperluan garis pemisah. Keperluan membina intipati dalaman dibayangi ketaksuban menebalkan garisan itu. Dan garisan itu adalah nama agama – Islamisasi dan Arabisasi.

  5. Letakkan nama ‘Islam’ pada apa-apa saja, dan tugas seterusnya anda akan menjadi mudah secara mendadak. Pembangunan dan pengukuhan kemajuan diri sudah boleh diendahkan perlahan-lahan.

  6. Jika ia adalah sebuah parti politik yang tidak bijak berpolitik, tidak sistematik, tidak tahu hal ehwal ekonomi, dan tidak terima pakai pemikiran pihak lain, maka Melayu tidak kisah kerana formulanya adalah meletakkan perkataan ‘Islam’.

  7. Institusi pendidikan ‘Islam’ boleh bergelora dan berporak-poranda tanpa rasa digugat, hanya kerana orang luar faham ia masih dalam garisan Islamisasinya. Siapa berani persoal sesuatu yang sudah Islam, lebih-lebih lagi secara akademik?

  8. Tidak kisah jika ia adalah bank dalam ranking paling rendah, aset paling sedikit, kelewatan dalam urusan, dan masalah kad debit yang berulang-ulang. Orang berasa senang hanya kerana perkataan ‘Islam’ dan Arab.

  9. Pihak di luar lingkungan Islamisasi dan Arabisasi ini sedang meningkatkan tahap kualiti mereka secara bersungguh-sungguh demi meyakinkan marhaen lain. Yang di dalam garisan Islamisasi pula sentiasa selesa terus-menerus, lantaran marhaen telah pun dikelirukan awal-awal. Pada hujung pangkalnya, kita kenal siapa yang kuat bekerja sepanjang masa. Dan kita faham siapa yang berhasil lebih.

  10. Kadang-kadang dunia yang kita takrif sebagai benar tapi secara salah, tidaklah sekukuh mana. Ia mengelirukan. Kekeliruan itu pula adalah asas kepada kepalsuan.

  11. Barangkali, itulah yang Profesor Arthur cuba melorong bagaimana harus dierti tentang falsafah hakikat kebenaran: Apa yang kita pasti sebagai palsu, itu juga sebuah kebenaran. Di luar lingkungan itu, kita belum pasti ia benar atau tidak. Kita tidak boleh terus berkata ia tidak benar.

  12. Saya cenderung kepada falsafah itu - walaupun kebanyakan orang memilih untuk tidak bersetuju.

Recent Posts

See All

©2022 by I.Dia

bottom of page