Rajin dan bijak: Jalan keluar melawan fitnah
- Ben Hasan
- Aug 25
- 2 min read
Membuat fitnah adalah kerja orang malas. Dia tidak perlu akan daya yang lebih untuk menegak apa yang sepetutnya diperiksa terlebih dahulu, kerana dia mahu jadikan sesuatu berita itu cepat diterima orang kebanyakan. Kalau dia perlu menyampaikan berita yang benar, dia perlu usaha lebih sedikit untuk mencari sumber yang benar dengan memeriksanya dahulu. Tetapi, dia melangkaui peringkat itu dan terus menyampaikan. Ini sikap orang yang malas.
Tidak ada manusia di dunia ini yang mahu menjadi penipu di mata orang lain. Kalau sekali sahaja orang tahu yang dia menipu, maka apa yang disampaikannya itu berkemungkinan besar menjadi yang terakhir. Sekali dia menipu atau menfitnah, mungkin orang percaya. Ia jarang berlaku kali kedua dan seterusnya. Dunia tidak memberi tempat yang mulia untuk orang berbohong - walaupun kebohongan itu menampakkan apa isi dunia ini menjadi cantik.
Orang Melayu terkenal dengan sikap yang meminggirkan orang menfitnah. Agama dan adat Melayu merendahkan golongan penipu dan pemfitnah ke tahap paling rendah. Setelah direndahkan, tidak ada suatupun - di mata orang kebanyakan - yang dapat mengangkatnya semula biarpun selepas dia memohon maaf dan ampun.
Golongan penipu itu sememangnya susah dikawal kerana kalau tipu dan fitnah itu sudah menjadi salah satu cara mereka survive dengan mencari makan, umpamanya dalam agama dan politik Melayu, mereka lebih sanggup malu digelar penipu dari mati kelaparan. Kaki penipu ini lahir dari kalangan pembiak yang tidak jujur, dengan menganggap fitnah ini biasa untuk menyerang lawan.
Untuk kita orang awam ini, menjadi rajin dan bijak adalah jalan keluar dari berterusan ditipu. Kita tidak mampu mengawal golongan pemfitnah yang melata ini kerana ini adalah cara mereka mencari makan. Yang kita boleh kawal adalah menjadi sedikit rajin untuk memeriksa setiap apa yang disampaikan.
Kalau kita tidak mempunyai masa untuk memeriksa setiap kata-kata, menjadi bijak - dengan mempersiapkan akal untuk hanya mencari yang benar dan logik - adalah jalan keluar satu lagi kepada malapetaka fitnah ini. Menjadi rajin dan bijak tidaklah mudah. Pun begitu, kedua-duanya dianggap pelaburan menguntungkan untuk membiak kebenaran.
Orang yang memfitnah itu - yang memang semulajadinya malas dan tidak bijak - amatlah gemar akan pendengar yang malas tidak tidak bijak sama seperti mereka. Hal ini kerana, dengan berterusan menjadi seorang yang malas dan tidak bijak, mereka terus-menerus mencari makan di lorong agama dan politik. Mereka tidak berhenti makan kerana kelaparan, dan kita pula tidak berhenti memberi mereka makan.