top of page

Coronavirus dan adaptasi sosial

  • Writer: Ben Hasan
    Ben Hasan
  • Apr 19, 2020
  • 3 min read

Updated: May 21, 2024

  1. Dalam tempoh hanya beberapa bulan, hampir keseluruhan manusia di serata dunia telah terkesan dengan Coronavirus atau COVID-19. Semua peringkat manusia sedang berusaha meminimakan impak – sesuatu yang pada hakikatnya tidak mampu dielak.

  2. Sehingga kini, hampir 2.3 juta telah dijangkiti. Kalau ditukarkan ke bentuk populasi sesebuah negara, ia sudah pun melibatkan hampir 40% negara di dunia. Hampir 40% di dunia yang jumlah penduduknya lebih kurang 2.3 juta. Di samping mengikuti kemas kini data, saya menyelak komentar-komentar di sebalik tragedi ini. Tiada siapa lagi berani mengguna istilah negara dunia pertama, kedua mahupun ketiga. Segala segi dihitung ambil secara pukal.

  3. Kalau kita terlupa untuk semak, ia sedikit menjadi seteruk Perang Dunia Kedua, jika tidak setanding Spanish Flu sekitar 1918 – 1920. Survival Spanish Flu, kalau ada pun, hampir berusia 100 tahun.

  4. Usaha merawat pesakit bergerak dengan pantas, sama pantasnya dengan keinginan manusia untuk melambatkan penularan. Di sudut kelompok kecil, duduk di tepi tingkap merenung sebab musabab semua ini terjadi.

  5. Antara yang menarik perhatian saya – dan saya membacanya lebih dari sekali – adalah kupasan hasil buah fikiran Hassan Abdul Karim tentang kebarangkalian melihat wabak ini dari sudut berbeza. Seperti beliau, saya juga berminat untuk pandang dari sudut sisi lain. Tidak sedikit juga yang membawa teori konspirasi ke tengah. Secara jujur, saya kurang cenderung dengan pandangan sasar sebegitu. Katakan pada masa akan datang, konspirasi itu benar atau separa benar, saya tidak berasa rugi kerana tidak mengangguk kepadanya.

  6. Dalam keterujaan kita melintasi milenia baru, kita sangkakan sudah bersedia sepenuhnya dengan alam baru dan kemungkinan baru yang bakal mendatang. Tiba-tiba dalam sekelip mata, kita dipaksa menginjak beberapa tapak ke belakang. Ia dengan segera. Dengan singkat, kita terpaksa menjadi pelbagai watak, selepas mula-mulanya menggalas satu dua watak.

  7. Dalam sekelip mata dunia – dan bukan hanya dunia sekekiling pangkal lengan kita – telah berubah. Perubahan ini memaksa manusia pun turut berubah. Tidak boleh dengan perlahan. Tiba-tiba kita memaksa adaptasi ini. Dari sebuah sosial yang kompleks, merangkak kembali ke kehidupan asas – menyusun hidup dari hari ke hari, selapis ke selapis. Pergerakan manusia terhenti sejenak biarpun putaran waktu tetap berpusing.

  8. Saya ingin mengajak kembali di awal-awal kehidupan manusia. Kita menghabiskan masa di tempat kita – di dalam gua. Betapa banyaknya masa di dalam gua itu sehingga catatan pun banyaknya ditulis di dalam. Kita jarang keluar kecuali untuk mencari makan, untuk survival hidup. Kita tidak bergerak jauh melainkan di sekeliling tempat tinggal. Mungkin ada sekelompok kecil yang tinggal di gua lain, tapi kita tidak perlu peduli. Semua menjalani urusan masing-masing dengan sendiri. Tiada siapa pun pada masa itu yang menyuruh kita tidak selalu keluar. Penjarakan sosial telah pun berlaku tanpa kerahan. Saya mohon maaf jika terlalu radikal menyatakan yang berbeza situasi pada masa itu dan hari ini hanyalah satu – internet. Di situ lah pena dan di situ lah kertas kita. Ini gua kita.

  9. Selepas itu, selama beratus abad, kehidupan kita menjadi semakin kompleks tanpa disedari. Dalam sejarah manusia, berlakunya adaptasi sosial dengan tidak terhitung. Ada yang berlaku dengan dirancang, ada yang terjadi secara semula jadi, dan ada yang berbentuk terpaksa. Dengan itulah cara kita hidup, disamping berpaksi takdir Tuhan.

  10. Sebenarnya kehidupan moden manusia pada masa hadapan – untuk berpuluh tahun nanti – sudah tentu berbentuk sangat kompleks dan rumit. Boleh jadi kita perlu adaptasi, dengan seperti apa yang kita buat sekarang. Jika mengikut pilihan kita, boleh jadi proses adaptasi yang akan datang ini mengambil tempoh sedikit lama, tidak sesingkat apa yang ditawarkan akibat Coronavirus ini. Tetapi disebabkan terpaksa, kita ikut.

  11. Manusia jarang ikut jika dipaksa, melainkan pilihan kedua yang ada di tangan adalah kematian. Kalau mahu terus langsung hidup, mesti paksa diri. Di dalam Al-Quran pun ada disebut, yang bangsa atau kaum itu sendiri perlu ingin berubah, jika tidak mahu dipaksa ubah oleh Tuhan akhirnya.

  12. Kalau suatu hari nanti dunia sudah lupa akan Coronavirus, manusia sudah pun tahu yang dia telah adaptasi. Manusia yang masih hidup, yang telah survive akan kembali bertebaran, juga seperti kehendak Tuhan. Satu hari nanti akan ada lagi sebab musabab yang tertentu, yang kita tidak jangka, memaksa kita jadi begini.

  13. Kita pun berharap akan sekali lagi mampu menghadapi dan survive. Itu pun dengan harapan kita masih mampu bergantung harap. Ketika itu manusia sudah arif untuk memaksa diri mengasingkan diri bersendirian. Dijangkakan beberapa bidang baru akan tumbuh, di samping melonjak bindang-bidang terkini sedia ada. Ia diiktiraf kesan baik adaptasi semasa yang dihadapi ini.

  14. Kurang lebih, benarlah hukum insan yang bernafas. Di hujung-hujung, insan akan kembali kepada keadaan ketika kecil dahulu – kembali kepada asas hidup. Begitulah halnya kemanusiaan, hal keberadaan dunia ini. Semakin ke hujung, ia semakin ke mula-mula. Ketika itu, ini belum tentu ada – internet.

Recent Posts

See All
Rajin dan bijak: Jalan keluar melawan fitnah

Membuat fitnah adalah kerja orang malas. Dia tidak perlu akan daya yang lebih untuk menegak apa yang sepatutnya diperiksa terlebih dahulu, kerana dia mahu jadikan sesuatu berita itu cepat diterima ora

 
 
Tanpa arak, Melayu pun sama mabuk

Melayu yang kita kenal hari ini tidak akan sama sekali minum arak. Malah kita cepat-cepat memalingkan muka walaupun tertengok bahagian di...

 
 

©2022 by I.Dia

bottom of page