top of page

Feudal Melayu kedua

  • Writer: Ben Hasan
    Ben Hasan
  • Oct 5, 2015
  • 2 min read

Updated: May 21, 2024

  1. Satu-satunya perkara baik tentang feudalism adalah apabila ia wujud, kita tahu apa yang tidak kena dengan sistem itu. Feudalism telah pun ditolak di Eropah melalui revolusi sains dan revolusi industri.

  2. Eropah memberitahu dunia, harga yang diperoleh selepas revolusi boleh melepasi apa-apa yang ditawarkan oleh feudalism. Lama kelamaan mereka berkembang menjadi bangsa yang berdikari.

  3. Tapi, sesetengah orang masih berasa selesa untuk terus berpaut pada feudalism. Sebahagian daripada sesetengah itu adalah orang Melayu. Ia tidaklah tentang feudalism kesultanan Melayu semata-mata, tapi ia adalah feudal dalam politik.

  4. Melayu telah pun berada dalam feudal itu lebih separuh abad. Ia telah menunjukkan dengan jelas bahawa kuasa itu solid. Apa-apa yang lain tidak akan melebihi kuasa itu.

  5. Sekali seseorang menjadi ‘raja’, anda akan berterusan berkuasa. Dahulu, kuasa raja hanya terhenti selepas kemangkatan, ‘raja’ sekarang hanya perlu berhenti dari politik untuk dilihat tidak berkuasa.

  6. Dahulu anda dipancung dan dianggap derhaka jika tidak menurut perintah, hari ini dianggap pengkhianat dan dipecat sudah tidak menjadi luar biasa.

  7. Kita juga biasa dengar tentang dibuang negeri jika tidak berpuas hati dengan pemerintahan raja. Sekarang pula pernah terdengar ada menteri yang suruh meninggalkan negara ini jika banyak mengeluh.

  8. Raja dahulu membiakkan mitos agama palsu supaya rakyat jelata sentiasa tidak mengangkat kepala mereka. Raja gemar membahasakan diri “beta”. (Saya fikirkan tentang satu hipotesis ini: perkataan “beta” berasal dari Sanskrit atau Hindi yang bermaksud “anak lelaki”. Jika kita perasan, raja pernah menganggap diri mereka “anak Tuhan” sebelum datangnya pengaruh Islam). Hari ini, mitos mengarut tentang ketuanan palsu Melayu pula dihebah.

  9. Jika sejak dahulu Melayu lebih bimbangkan seorang budak kecil yang cerdik berbanding todak, feudal Melayu hari ini masih, dan akan melakukan perkara yang sama. Orang yang meningkat naik ke tahap lebih bijak akan cepat-cepat dicantas.

  10. Orang Melayu telah tersalah membaca sejarah, dengan menganggap Hang Tuah adalah wira, bukannya Hang Jebat. Saat ini orang Melayu berkali-kali menyanjung Hang Tuah moden, supaya harap-harap generasi akan datang akan membaca sejarah dengan cara yang salah seperti mereka.

  11. Walaupun pelik, dari satu sudut lain, saya bersyukur apabila negara ini dijajah. Setidak-tidaknya, kita tidaklah mewarisi feudal yang konservatif seperti negara Arab dan Afrika. Tanpa penjajahan, bolehkah Melayu membuat revolusi dan memerdekakan diri sendiri dari feudal pertama (raja-raja) itu?

  12. Untuk feudal kedua, saya fikir mungkin sesetengah Melayu bernasib baik dengan adanya bangsa lain yang ingin lebih cepat membuat perubahan politik. Jika negara ini semuanya Melayu, sudah tentu revolusi pemikiran ke atas feudal kedua ini menjadi terlalu lama.

  13. Jika feudal Melayu pertama adalah raja yang berkeris, feudal Melayu kedua juga hurufnya empat dan berkeris juga. Cumanya ia bermula dengan “U”.

Recent Posts

See All
Tanpa arak, Melayu pun sama mabuk

Melayu yang kita kenal hari ini tidak akan sama sekali minum arak. Malah kita cepat-cepat memalingkan muka walaupun tertengok bahagian di...

 
 

©2022 by I.Dia

bottom of page