Ikutan yang terpinggir
- Ben Hasan

- Mar 31, 2015
- 3 min read
Updated: May 21, 2024
Saya pernah bertanya: “Sekiranya Nabi Muhammad lahir bukan dari bangsa Arab, adakah cara Baginda berpakaian selepas kenabiannya akan menjadi ikutan?” “Jika Nabi Muhammad lahir dari bangsa apa sekalipun, apakah nilai yang saksama untuk diikuti oleh semua bangsa?”
Sekian lama, manusia sudah terbiasa dengan menjadi pengikut. Yang diikuti itu boleh jadi tidaklah ramai. Tapi orang yang mengikuti itu yang membuatkan ia menjadi begitu bernilai.
Manusia mudah mengambil contoh. Dari pelbagai bangsa di dunia, kehidupan mereka menjadi mudah hanya dengan melihat dan melakukan semula apa yang dilakukan oleh orang yang berjaya. Walau bagaimana teruk pun untung nasib ini, yang terhasil itu tidaklah pula dipertikai.
Yang terbiasa dilakukan dari satu generasi ke generasi itu juga diikut. Tetapi, apa yang diubah oleh satu golongan terhadap generasi itu menjadi ikutan yang lebih kukuh pula. Bangsa yang biasa dengan pembaharuan, akan cenderung mengikut apa yang diubah itu.
Orang Eropah boleh berbangga dengan contoh-contoh dari tokoh yang berjaya. Dalam buku-buku sejarah, ia tidak pernah lupa untuk menulis kejayaan bangsa-bangsanya yang terdahulu, biarpun secara berulang-ulang. Andai ia mungkin terlepas pandang secara tulisan, ia akan tersebar pula dengan lisan. Begitulah halnya dengan bangsa lain.
Orang Islam juga tidak terlepas dari mengambil contoh yang baik-baik. Orang Islam tidaklah pula mengambil masa yang lama untuk menunjukkan tokoh yang paling diikuti. Nabi Muhammad, seperti mana yang diagungkan juga oleh sarjana Barat, sudah tentu mendapat tempat pertama – walaupun ada orang yang mula membuat senarai orang kedua terbaik selepas Baginda.
Untuk perihal ini, orang Islam memanggilnya sunnah. Dari sudut apa pun yang diperhatikan, pada bila-bila masa, tidak ada sesuatu pun yang terlepas dari diperhatikan. Lantaran apa yang diperhatikan itu pula akan diikuti. Dan seperti yang dijangka, ia akan disebarkan kepada yang lain. Yang tidak mengikuti itu pula, adalah janggal dan terasing.
Yang diucapkannya menjadi ikutan,demikian hal yang didiamkannya juga. Semuanya diikut. Sunnah menjadi tidak terpinggir langsung, disebabkan sikap yang demikian.
Tidak ada bukti yang lebih kukuh dalam hal ini untuk diperkatakan, melainkan tinggalan fizikal seperti janggut, serban, kasut, dan lain-lain lagi yang seakan-akan harus disimpan lagi sedemikian rupa. Yang orang Islam sentiasa fikir, itulah warisan terpenting.
Tetapi, sesetengah orang Islam memilih untuk lebih berfikiran kritikal terhadap itu.
Dan saya mengatakan yang sunnah (ikutan) paling terpinggir adalah khalwat (“khalwat” adalah perbuatan Nabi yang memencilkan diri, berkeseorangan, dan berfikir). Berfikir tentang keadaan masyarakat sekeliling dan alam (dan bercita-cita) untuk menjadikannya lebih baik adalah asas kepada kenabian. Ia juga asas kecil kepada ketamadunan.
Banyak cerita-cerita sebelum kenabian hanya berkisar tentang hal-hal keajaiban. Lantaran ini memperkukuhkan kenabian. Amat sedikit yang mahu mengajak kita berfikir tentang perihal “khalwat” sebagai kualiti paling ampuh kenabian.
Dengan nada yang berhati-hati juga, harus ada pemikiran baru terhadap ikutkan apa yang lebih penting. Ramai orang Islam berminat mengambil contoh fizikal. Berserban, berjubah, dan lain-lain tanpa terlebih dahulu mengambil ikutan yang paling terpinggir -“khalwat”. Orang-orang Arab berjubah dan berserban sejak sebelum Nabi. Andainya Nabi memperkenalkan berjubah dan berserban selepas kenabian, maka ia menjadi amat penting. Tapi, Nabi memperkenalkan “khalwat” kepada orang-orang Arab – walaupun ia adalah secara tidak langsung.
Ramai tokoh-tokoh dunia – walaupun tidak semua – lahir dari sunnah “khalwat”. Yang banyak mengambil contoh dari “khalwat” ini pula banyaknya yang bukan Islam.
Thomas Edison memberi contoh dari contoh-contoh yang dikagumi, tentang hasil dari sikap tidak berputus asa beliau. Maka generasi berikutknya, terutama bangsa Eropah, belajar untuk tidak berputus asa. Sudah tentu ia lahir dari sikap yang menyendiri – walaupun bagi kebanyakan orang, menyendiri bukan satu-satunya cara menyelesaikan masalah.
Hari ini, semakin ramai orang Islam tidak kisah untuk bergaduh dan bertengking, hanya kerana hal ikutan fizikal Nabi. Mengikuti secara fizikal harus ada baiknya, tapi ikutan perbuatan dan pemikiran harus memberi hasil yang lebih dikagumi.
Saya tidaklah berhasrat mempertikaikan sunnah (ikutan) yang terbiasa diikut oleh orang Islam. Saya hanya berkata sunnah “khalwat” itu seharusnya lebih relevan, lebih-lebih lagi dengan kedudukan nasib orang Islam pada hari ini.
Saya cuma berfikir, apakah faedah yang bangsa Eropah (dan juga bangsa-bangsa) lain peroleh andainya yang banyak ditulis hari ini adalah cara Thomas Edision berpakaian dan pen jenis apa yang digunakannya, dan bukannya sikap tidak berputus asa beliau. Apakah yang akan Eropah dapat dari cara beliau berpakaian?